DAP puji GRS bersikap adil kepada rakyat bukan Islam di Sabah

KOTA KINABALU: Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Chan Foong Hin menyifatkan tindakan kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
memperuntukkan dana untuk rakyat bukan Islam dan menegakkan hak minoriti untuk kebebasan beragama adalah sesuatu yang harus dipuji.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, beliau juga menyatakan rasa senang hati melihat situasi terbabit di mana jumlah bajet untuk komuniti bukan Islam di Sabah tetap dikekalkan.

“Ia bagus untuk melihat kedua-dua belah pihak politik mengekalkan bajet untuk komuniti non Muslim terutamanya untuk tujuan pendidikan dan persatuan agama.

“Tidak seperti rakan sejawatnya dari Kedah, Menteri Besar PAS, Muhammad Sanusi Md Nor yang telah membatalkan Thaipusam, festival yang disambut oleh masyarakat Hindu Tamil, sebagai cuti umum di negeri ini.

“Diakui, Ketua GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diakui melayan semua rakyat tidak kira bangsa dengan sama rata walahpun ada di antara mereka tidak mengundi GRS,” katanya.

Walau bagaimanapun, Chan turut mengingatkan kerajaan GRS untuk membayar sepenuhnya bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri Warisan Plus pada tahun lepas kepada badan keagamaan bukan Islam termasuk gereja, kuil Cina, tempat ibadat Hindu dan Sikh, dan sekolah.

“Pada tahun lepas sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sejumlah tambahan RM8 juta telah ditingkatkan kepada RM35 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri Warisan Plus di bawah pimpinan mantan Datuk Seri Shafie Apdal untuk tujuan tersebut.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah RM43 juta diedarkan untuk tahun 2020. Tarikh tutup permohonan bantuan kewangan dari kerajaan negeri juga telah dilanjutkan hingga 18 Jun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menurut laporan berita, sejumlah RM19.7 juta untuk tahun 2020 telah dikeluarkan pada 1 Februari semasa upacara penyampaian di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

“Dari jumlah terbabit, sejumlah RM13.5 juta diberikan kepada sekolah Cina, RM5.29 juta telah diluluskan untuk pembangunan dan pemeliharaan 145 kuil di Sabah, dan sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk membantu pelbagai persatuan Cina di Sabah mengadakan aktiviti mereka sempena Tahun Baru Cina,” katanya.

Mengulas lagi lanjut, beliau berkata bahawa pada 16 Disember tahun lepas, sejumlah RM16.92 juta telah diagihkan kepada Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) juga dilaksanakana di PPNS.

“RM19.7 juta ditambah RM16.92 juta sama dengan RM36.62 juta. Ini bermakna terdapat kira-kira RM7 juta dana yang tidak diagihkan kepada badan dan sekolah bukan Islam daripada RM43 juta yang diperuntukkan untuk tahun 2020,” katanya.

Chan mengatakan bahawa penting bagi pembiayaan kewangan yang diperuntukkan untuk diagihkan sepenuhnya dan tepat pada masanya.agar penerima dapat memperoleh manfaat dari mereka dalam kegiatan mereka sepanjang tahun.

“Dana untuk 2020 seharusnya diberikan lebih awal pada tahun lepas namun disebabkan wabak COVIS-19, dapat difahami terdapatnya penundaan,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *