Covid-19: Pesakit kontak rapat dijangka meningkat di Sabah

KOTA KINABALU – Peratusan pesakit kontak rapat Covid-19 dijangka bertambah setiap hari di Sabah sekiranya lebih ramai orang terdedah kepada pembawa virus berbahaya itu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, susulan pertambahan kes harian di beberapa daerah khususnya yang padat dengan penduduk, peratusan pesakit kontak rapat juga mula meningkat.

Masidi berkata, daripada 127 kes yang direkodkan pada Sabtu, sebanyak 43 kes atau 33.86 peratus adalah daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala 65 kes (51.18 peratus) dan lain-lain 19 kes (14.96 peratus).

“Sebanyak 10 daripada 32 kes baharu di Kota Kinabalu hari ini merupakan kontak rapat dan 50 peratus daripada kes di Penampang juga adalah daripada kontak rapat.

“Mengambil kira perkembangan semasa angka Covid-19 di negeri ini, amatlah disarankan agar masyarakat mematuhi semua prosedur operasi standard yang berkuat kuasa bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, jumlah kes baharu ialah 127 menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 373,339. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.