‘CIQS di Kalimantan-Sabah, Kalimantan-Sarawak perlu disegerakan’

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat perlu mempercepatkan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di semua pintu masuk Malaysia-Indonesia di sempadan Kalimantan-Sabah dan Kalimantan-Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata perkara itu antara isu yang perlu diselesaikan segera sejajar pembukaan ibu negara baharu Indonesia yang dinamakan Nusantara di Kalimantan Timur dijangka pada 2024.

Katanya, rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak turut tumpang teruja dengan pemilihan wilayah Kalimantan yang berjiran dengan kedua-dua negeri selepas disebut sebagai lokasi baharu ibu negara Indonesia menggantikan Jakarta di Pulau Jawa.

“Bagaimanapun, sejauh mana kita teruja dengan perkembangan baharu ini, di pihak Malaysia, kita perlu bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan perubahan yang besar.
“Ada beberapa isu yang perlu kita berikan perhatian sejajar dengan pembukaan ibu negara baharu Indonesia itu seperti ekonomi perdagangan sempadan, logistik dan keselamatan.

“Wujud keperluan untuk Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan pusat CIQS di semua pintu masuk ke Malaysia (Sabah dan Sarawak),” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sempena lawatannya ke Nusantara, Kalimantan Timur, semalam.

Beliau mengetuai delegasi khas 40 pegawai Malaysia yang turut disertai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam meninjau lokasi ibu negara baharu Indonesia itu.

Maximus berkata Malaysia juga teruja dengan perkembangan baharu di wilayah Kalimantan kerana ia disasar bakal membawa limpahan ekonomi yang turut memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak.

“Delegasi berpeluang melawat tapak cadangan Istana Presiden yang mana Presiden Indonesia, Joko Widodo melawat bersama pegawai tertingginya kira-kira seminggu lalu,” katanya.

Difahamkan, katanya Istana Presiden Indonesia itu bersama bangunan perundangan dan jabatan utama kerajaan negara itu mula dibuka di ibu negara baharunya sebelum pertukaran presiden akan datang pada 2024.

Nusantara yang bakal menjadi titik sifar atau disebut ‘nol’ di Indonesia terletak di antara Penajam Paser dan Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur dengan keluasan 256,105 hektar iaitu empat kali lebih besar berbanding Jakarta. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *