Buka sempadan: Penduduk Sabah perlu dapat dos penggalak segera

TAWAU – Penduduk Sabah perlu segera mendapatkan vaksinasi Covid-19 dos penggalak sebelum sempadan negara dibuka kerana dikhuatiri terdedah kepada Covid-19 dengan kemasukan rakyat Filipina dan Indonesia ke negeri ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata kebimbangan itu susulan melihat kepada status vaksinasi di dua negara berkenaan yang menurutnya masih agak rendah.

“Apatah lagi yang bersempadan Sabah ini adalah kawasan yang bukan dekat dengan ibu kota, andaian kita adalah penduduk di Selatan Filipina dan Kalimantan adalah (kadar) vaksinasi mereka rendah.

“Kalau buka sempadan lagi ramai masuk, walaupun kita ada prosedur tapi liputan vaksinasi di Sabah penting kerana risiko Covid-19 dari negara jiran itu ada, ini untuk persediaan.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Andi Muhammad Suryady Bandy bertanya pada saya tadi bila sempadan nak buka. Andi memberitahu Tawau bersempadan dengan Indonesia dan ini membimbangkan kerana kadar vaksinasi di negara jiran rendah,” kata selepas merasmikan Program “Mass Cataract Surgery Initiativeโ€ (MCSI) di sini pada Isnin.

Khairy berkata setakat ini 40 peratus penduduk dewasa Sabah sudah menerima dos penggalak manakala kira-kira 16 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negeri ini mendapatkan vaksin Covid-19.

Dalam pada itu katanya pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan warga emas berumur 60 tahun ke atas di negara ini mendapatkan dos penggalak termasuk melaksanakan ‘opportunistic vaccine’ iaitu golongan berkenaan yang dimasukkan ke hospital agar dinilai dan diberikan vaksin sebelum pulang ke rumah.

Berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICkids), beliau berkata ibu bapa tidak perlu lagi mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana PICKids berkenaan sudah dilaksanakan lebih sebulan dan rata kanak-kanak yang mendapat vaksinasi hanya mengalami kesan sampingan ringan.

“Ibu bapa tidak mahu bagi kebenaran meskipun program itu dibawa sampai ke sekolah tapi pada hari vaksinasi, tidak datang, jadi saya merayu pada ibu bapa sekarang bawa anak vaksin kerana saya melihat semakin ramai kanak-kanak masuk hospital kerana Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata berikutan pandemik Covid-19 memberi tekanan kepada sistem kesihatan di Malaysia kerana banyak rawatan kes bukan kecemasan dan elektif perlu ditunda seperti perkhidmatan pembedahan antaranya pembedahan katarak yang dilaporkan terdapat 16,288 kes oftalmologi tertunggak sehingga Oktober 2021.

Beliau berkata namun kes tertunggak berjaya dikurangkan dengan pelaksanaan MCSI dan sehingga Disember 2021 hanya terdapat 4,960 kes tertunggak di Malaysia, manakala terdapat 360 kes tertunggak di Tawau sehingga Oktober 2021 dengan 83 pembedahan katarak dijalankan sehingga Februari 2022.

“Hari ini Hospital Tawau melaksanakan MCSI dengan menyasarkan 200 pembedahan katarak dilakukan dalam tempoh tujuh hari sehingga 13 Mac ini yang turut melibatkan 17 pakar oftalmologi serta 12 pegawai perubatan dan anggota kesihatan daripada Kementerian Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia termasuk Universiti Malaysia Sabah,” katanya.

Khairy turut merasmikan mesin mammogram bernilai RM2.15 juta serta projek unit rawatan rapi (ICU) hibrid lapangan bernilai RM6.25 juta di Hospital Tawau selain melawat beberapa klinik kesihatan sekitar Tawau yang perlu diberi perhatian kerana berada dalam keadaan daif.

Beliau selain itu turut mengumumkan perolehan ‘Positron Emission Tomography (PET) CT Scan’ yang akan ditempatkan di Hospital Likas sebagai memberi kemudahan kepada pemeriksaan kanser, masalah hati termasuk otak. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *