Buaya di Taman Ujana Rimba Tropika akhirnya ditangkap

KOTA KINABALU: Buaya estuarin yang dilaporkan telah mendiami longkang monsun besar sepanjang Taman Ujana akhirnya berjaya ditangkap, semalam

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata pihaknya menerima laporan sejak hujung Disember tahun lepas mengenai buaya estuarin yang dilihat berjemur di atas tiang plastik di seberang Taman Ujana Rimba Tropika.

“Kita segera mengarahkan Unit Penyelamat Hidupan Liar, Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk bertindak dan menangkapnya.

“Setelah lebih dari sebulan usaha penangkapan, buaya ini akhirnya berjaya diperangkap oleh renjer WRU kami, di lokasi yang berbeza.

“Walau bagaimanapun buaya itu tetapi masih di longkang monsun yang sama dan kali ini bertentangan dengan Wisma MUIS.
Buaya itu berukuran sekitar dua meter atau sekitar 6.6 kaki,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui Sabah dalam beberapa tahun kebelakangan telah menyaksikan konflik antara buaya dan manusia yang meningkat dengan sejumlah serangan buaya terhadap manusia menyebabkan kematian.

“Hal ini disebabkan oleh peningkatan populasi buaya kerana program pemuliharaan yang efektif selama 30 tahun terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Unit Penyelamat Hidupan Liar dari Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Sen Nathan berkata pihaknya menerima cadangan untuk membiarkan buaya tersebut dan hanya memasang papan tanda untuk memberi amaran.

“Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak akan berkesan di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu.

“Longkang monsun ini bersambung baik dengan sistem perparitan di sepanjang kawasan perumahan di Luyang dan Foh Sang.

“Oleh itu, haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing pasti akan menjadi mangsa bagi buaya ini.

“Malah, golongan kanak-kanak dan orang dewasa juga berisiko tinggi apabila buaya ini bertambah besar. Oleh yang demikian, buaya tersebut harus ditangkap,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *