BN, GRS bincang agihan kerusi Parlimen di Sabah

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembahagian kerusi Parlimen di negeri ini, bagi mengelak pertembungan sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu penting bagi mengelak sebarang masalah berhubung kedudukan kerajaan GRS-BN selepas PRU-15 nanti.

“Kita ada 25 kerusi Parlimen di Sabah, jadi kita akan duduk berbincang dengan GRS untuk pastikan tiada pertembungan antara GRS dan BN. Kalau boleh dielak, kita akan elak.

“Cuma, kita lihat ‘trend’ sekarang nampaknya masing-masing mahu menuntut kerusi yang ingin ditandingi…jadi ini bukan mudah.

“Namun, saya akan duduk juga berbincang dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Sebab kalau berebut, lepas PRU nanti kerajaan negeri juga akan tergugat, jadi ini perlu difikirkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media, di sini, hari ini.

BN bekerjasama dengan parti yang bernaung di bawah GRS bagi membentuk kerajaan negeri di Sabah, namun memutuskan tidak bekerjasama dengan parti yang membentuk gabungan itu di peringkat Pusat.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, UMNO mahukan PRU-15 diadakan tahun ini, iaitu selepas memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang tamat pada 31 Julai depan.

Sebab itulah, katanya MKT UMNO membuat pendirian tidak mahu MoU berkenaan disambung.

“Tanpa MoU, ini bermaksud PRU-15 memang akan diadakan. Ia bukan atas kehendak untuk membentuk kerajaan semata-mata, tetapi turut melihat keadaan ekonomi negara.

“Sekarang pelabur kurang datang kerana mereka lihat keadaan politik di Malaysia ‘fragile’ (tidak stabil) sebab jika mana-mana parti tarik diri, kerajaan dan Perdana Menteri akan gugur.

“Jadi akan bertukar lagi kerajaan sedangkan sebelum ini pun sudah tiga kali kerajaan negara kita bertukar. Keadaan ini tidak baik untuk negara,” katanya.

Bung Mokhtar berkata, PRU-15 perlu diadakan segera bagi membentuk sebuah kerajaan yang teguh untuk menstabilkan negara.

Beliau berkata, soal masih terlalu awal untuk mengadakan pilihan raya tidak timbul memandangkan tempoh Parlimen sekarang akan berakhir pada Mei tahun depan, tidak sampai setahun lagi jika PRU-15 diadakan selepas Julai nanti.

“Lagipun, kerajaan yang ada sekarang bukan atas mandat rakyat, jadi memang perlu untuk mengadakan PRU dan UMNO berpendapat ia mesti diadakan pada tahun ini,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *