Belanjakan wang KWSP dengan bijak: Yamani

SIPITANG: Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa menasihatkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memilih untuk mengeluarkan wang mereka di bawah inisiatif pengeluaran khas Kerajaan supaya bijak membelanjakan sumber mereka.

 Beliau menasihatkan mereka yang masih mampu menampung perbelanjaan agar tidak membuat pengeluaran, bagaimanapun beliau memahami bahawa kebanyakan mereka yang memilih untuk mengeluarkannya adalah golongan yang sangat memerlukan. 

“Mereka benar-benar memerlukannya jadi saya nasihatkan mereka agar menggunakannya sebaik mungkin untuk menampung keperluan mereka,” kata Timbalan Menteri Kewangan II itu semasa majlis penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau di Sipitang, di Masjid Pekan Mesapol, Sabtu lalu. 

Mengenai penyerahan itu, Yamani berkata Kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada sejumlah 11 masjid dan 20 surau.Berhubung dengan penyerahan bantuan kewangan kepada 11 masjid dan 20 surau itu, ini adalah sebagai sokongan kerajaan untuk mengimarahkan masjid dan surau.

Beliau menasihatkan jemaah agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan. “Gunakanlah sebaiknya masjid dan surau tanpa mengabaikan kelonggaran SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.  

Turut hadir Ketua Bahagian USIA Daerah Sipitang Datuk Sapawi Hj Ahmad, Pegawai Daerah Sipitang Awg. Ku Raimi Pg Abd Rahman dan Pengerusi Masjid Mesapol Abd Rahman Mohd Nuh. – SBN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *