Bekalan darah di Sabah merosot

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggesa agar semua rakyat Sabah tampil untuk menderma darah, berikutan stok bekalan darah semakin merosot dan aktiviti menderma semakin berkurangan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, berkata gelombang ketika jangkitan COVID-19 menyebabkan aktiviti menderma darah di Sabah menurun.

Katanya, isu terbabit semakin meruncing pada bulan Ramadan ini dan dijangka berlanjutan sehingga Pesta Kaamatan nanti.

“Walaupun hospital di seluruh Sabah telah mengambil langkah berjaga-jaga, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberi impak kepada stok bekalan darah yang sedia ada.

“Dianggarkan pada tahun ini, stok darah di Sabah akan merosot sebanyak 20 peratus, berikutan pembatalan lebih daripada 200 kempen derma darah yang membabitkan sasaran awal 6,000 pendermaaan.

“Penyusutan ini perlu diatasi dengan kadar segera agar stok bekalan darah untuk pesakit tidak mencecah paras kritikal yang boleh menjejaskan perawatan pesakit,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut berkata, perkhidmatan perubatan tranfusi Sabah kini menyasarkan kutipan 1,800 penderma seminggu bagi menampung keperluan dan berada di paras selamat.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri menyeru serta menggalakkan seluruh rakyat Sabah untuk menderma darah dengan menghubungi pusat tabung darah berdekatan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *