Bekalan air tergangggu, penduduk terpaksa guna air hujan

BEAUFORT: Gangguan bekalan air bersih yang berlaku di Lumadan, sini, menyebabkan penduduknya terpaksa menggunakan air hujan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata kehidupan penduduk di kawasan itu menjadi bertambah sukar apabila musim kemarau.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan negeri menangani segera bekalan air bersih di kawasan Lumadan.

“Ekoran daripada gangguan bekalan air selalu terputus, penduduk kampung menggunakan air hujan sahaja, sekiranya di musim kemarau melanda, amat sukar untuk penduduk kampung meneruskan kehidupan.

Menurutnya, sebanyak 40 kampung buah mengalami gangguan bekalan air dan masalah ini sudah berlarutan selama dua dekad, sejak sebelum beliau menjadi ADUN di sini.

Bagi mencari jalan mengatasi masalah yang dihadapi penduduk itu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Jurutera Jabatan Air Beaufort, Geoffrey Lousi dan meminta agar permasalahan seperti gangguan bekalan air dapat diselesaikan.

Katanya, air keperluan asas kehidupan dan kini rakyat menggunakan air hujan sebagai sumber makanan dan minuman.

Beliau juga meminta cadangan dan perkembangan terkini daripada Jabatan Air Beaufort dalam mencari penyelesaian kepada masalah gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, Ruslan juga menyarankan kepada kerajaan negeri untuk mengadakan satu sesi perbincangan dengan Labuan Water Supply bagi tujuan menyalurkan air di sepanjang Jalan Gadong-Bintuka dan Jalan Suasa-Bangkalalak, dalam kawasan Lumadan.

“Perbincangan dengan Labuan Water Supply ini perlu dilaksanakan sementara menunggu keputusan kerajaan terhadap cadangan pembinaan mini loji air diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Dalam perkembangan lain, beliau melawat Kampung Suasa bagi menyampaikan sumbangan 1000 bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terputus hubungan dan bekalan makanan ekoran hujan yang berterusan sejak minggu lalu.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.