Bantuan dana daripada kerajaan persekutuan akan disalurkan dengan segera

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata bantuan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah yang dilanda banjir akan disalurkan dengan segera.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan bantuan kewangan untuk Sabah akan disalurkan dengan cepat sebagai maklum balas kepada rayuan negeri itu, dan memastikan dana itu digunakan sebaiknya dalam mengawal bencana banjir yang berlaku.

Perdana Menteri memberi jaminan itu sebagai menjawab permintaan negeri yang dibuat Hajiji semasa mesyuarat khas pasukan petugas pengurusan bencana banjir monsun timur laut dan maklumbalas terhadap taklimat kepada Perdana Menteri berkenaan enam daerah Sabah – Kota Marudu, Pitas, Paitan, Ranau, Sandakan dan Telupid – telah terjejas akibat banjir yang diadakan secara maya pagi semalam.

“Kita telah membuka 23 pusat pemindahan sementara di daerah ini bagi menampung 874 keluarga melibatkan 2,435 orang,” jelasnya.

Hajiji menambah, semua agensi berkaitan yang diarahkan untuk membantu mangsa banjir telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Setakat ini, dimaklumkan bahawa Sabah menerima RM200,000, dan RM674,000 lagi diperlukan sebagai bantuan kewangan untuk keluarga terjejas.

Kerajaan Persekutuan mengumumkan setiap keluarga terjejas akan diberi bantuan kebajikan sebanyak RM1,000 di bawah Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Pada masa sama, Hajiji berkata kerajaan negeri turut mengagihkan bakul makanan kepada mangsa.

“Jadi, ada baiknya Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan kepada Sabah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kerajaan negeri sedang menunggu laporan kerosakan infrastruktur di semua daerah yang terjejas.

Hajiji akan melawat Kota Marudu, Pitas dan Paitan esok untuk menilai keadaan dan bertemu mangsa banjir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *