Banjir: Penduduk Sandakan perlukan balai raya sebagai PPS

Orang ramai menaiki lori untuk keluar selepas banjir melanda Kampung Sungai Manjang sejak semalam ketika tinjauan pada Ahad. – Foto Bernama

SANDAKAN : Penduduk di Kampung Sungai Manjang, kira-kira 60 kilometer dari sini, amat memerlukan sebuah balai raya yang boleh berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali berlaku banjir di kawasan itu pada musim monsun timur laut.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakaria Mohd Edris berkata ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung boleh berbincang dengan Majlis Perbandaran Sandakan untuk mendapatkan tapak yang sesuai bagi pembinaan balai raya itu.

“Buat masa ini, Masjid Nur Iman di kampung itu menjadi PPS bagi penduduk terjejas namun sekiranya masjid berkenaan tidak mampu menampung lebih ramai mangsa jika cuaca semakin buruk, Pejabat Pertanian Manjang boleh membantu menempatkan mangsa terbabit,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Sungai Manjang, pada Ahad.

Beliau berkata, kampung itu mempunyai 620 penduduk dan 145 orang daripadanya terjejas akibat banjir sejak semalam.

Setakat ini, kira-kira 60 orang telah dipindahkan ke Masjid Nur Iman manakala usaha menyelamatkan mangsa lain yang masih terperangkap sedang dijalankan.

Zakaria berharap mangsa yang terperangkap mematuhi arahan untuk berpindah apabila pasukan penyelamat datang ke rumah mereka.

“Alhamdulillah, kita gunakan bot dan telah beri bantuan termasuk makanan dalam bentuk bermasak dan boleh dimasak sendiri,” katanya.

Seorang mangsa, Sarina Mijar, 60, pula berkata, dia dan suaminya Apong Atang, 70, terperangkap apabila rumah mereka dinaiki air sejak semalam dan bersyukur kerana diselamatkan hari ini (Ahad).

Warga emas itu berkata, dia diselamatkan oleh penduduk kampung yang datang dengan bot sendiri manakala suaminya diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.