Bangunkan Tawau Sebagai Bandar Sempadan Seiring Perpindahan Ibu Kota Indonesia

TAWAU : Pembangunan Tawau sebagai bandar sempadan akan diperhebatkan bagi meraih manfaat ekonomi seiring dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata langkah itu dilihat lebih baik berbanding membina sebuah bandar baharu kerana Tawau merupakan kawasan yang telah dilengkapi prasarana termasuk lapangan terbang dan pelabuhan, serta pembangunan kemudahan asas lain seperti jalan raya dan bekalan air.

โ€œSaya secara peribadi dan semua pihak termasuk Majlis Perbandaran Tawau (MPT) setuju. Pendekatan kita adalah memajukan Tawau itu sendiri, jadi tidak perlu kerajaan melabur lebih banyak duit untuk membina bandar baharu sebaliknya bandar yang sudah ada ini kita bina semula ke arah lebih baik.

โ€œKita bangunkan kemudahan yang lebih baik, buat jalan raya berkualiti menghubungkan Tawau dengan sempadan Indonesia agar pelancong dari negara jiran itu teruja datang ke bandar ini untuk melancong dan melakukan aktiviti perniagaan lain,โ€ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pengurangan Kompaun MPT di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di kawasan Serudong, Kalabakan yang menjadi pintu masuk Simanggaris, Indonesia masih perlu dilaksanakan bagi pemeriksaan rentas sempadan.

Sementara itu, Masidi berkata cadangan MPT untuk mewujudkan Pusat Kebudayaan Antarabangsa di bandar ini akan dibentangkan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor untuk pertimbangan bagi pembangunan pada tahun depan.

โ€œCadangan itu bukan sahaja baik untuk imej Tawau yang baharu serta moden, bahkan pusat itu akan menghidupkan semula bandar ini sebagai pusat aktiviti nusantara antara Indonesia dan Sabah,โ€ katanya.

Mengenai program hari ini, beliau berkata MPT memberi pengurangan 90 peratus kepada 240,00 saman yang dikeluarkan tahun lepas, manakala pengurangan 50 peratus bagi saman yang dikenakan pada tahun ini.

โ€œOrang ramai boleh membuat pembayaran saman dengan menikmati pengurangan ini,โ€ katanya. โ€“ BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *