Anugerah Khas Diperkenal Mulai Tahun Ini

Kota Kinabalu: Anugerah khas diperkenalkan melalui Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah mulai tahun ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan memaklumkan, acara deklamasi puisi dimansuh dan digantikan dengan anugerah khas tersebut untuk membawa erti sebenar kemerdekaan.

“Pada tahun ini, kita membuat kelainan dengan memansuhkan pembacaan puisi dan menggantikan dengan pemberian anugerah khas kepada seorang belia yang cemerlang di peringkat global pada hari kejadian nanti.

“Anugerah ini diberikan kepada salah seorang belia Sabah daripada 50 pelajar terbaik seluruh dunia yang cemerlang dalam bidang inovasi dan pengiktirafan ini bersesuaian sempena sambutan hari kebangsaan bertujuan memberitahu masyarakat, kita mempunyai seorang belia yang hebat di peringkat dunia.

“Selain itu, kita juga ingin menyampaikan kepada masyarakat bahawa erti kemerdekaan sebenar adalah dengan menjelmakan seseorang individu menjadi cemerlang yang sama hebat dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia, “katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.

Dalam kunjungan tersebut, Masidi turut menjemput Tun Juhar untuk menghadiri sambutan itu yang akan berlangsung di Padang Merdeka, Rabu ini.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut adalah Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu selaku Jawatankuasa Penganjur Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Sabah 2022, Datuk Noorliza Awang Alip dan Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr Jamili Nais. – Jabatan Penerangan Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *