Anak gajah mangsa jerat mati

KOTA KINABALU: Anak gajah yang terpaksa dipotong pergelangan kaki akibat terkena jerat selepas diselamatkan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) di FELDA Sahabat 5, Lahad Datu, Sabtu lalu, dilaporkan mati lewat petang semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, berkata kematian haiwan itu dikaitkan dengan jangkitan kuman akibat kecederaan teruk pada kaki selepas terkena jerat.

Beliau berkata, walaupun keadaan anak gajah itu baik selepas pergelangan kaki kanan hadapannya dipotong kelmarin, pemeriksaan pegawai veterinar mendapati ia agak lemah pagi semalam sebelum diberikan rawatan dan ubat.

Katanya, selepas dirawat, anak gajah betina berumur kurang dua tahun itu bertindak balas dengan baik namun pada sebelah petang, ia rebah dua kali sebelum disahkan berhenti bernafas oleh doktor veterinar pada jam 6.15 petang, semalam.

“Bedah siasat terhadap anak gajah itu kemudiannya dijalankan pada pagi tadi dan hasilnya kematiannya berpunca daripada kegagalan organ penting seperti jantung, paru-paru dan pendarahan pada saluran pemakanan seperti perut dan usus.

“Ia adalah akibat daripada jangkitan luka yang dialaminya sejak terkena jerat. Walaupun pegawai veterinar yang merawat sudah melakukan sebaik mungkin untuk merawat anak gajah namun saya sangat sedih ia akhirnya mati,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, petang ini.

Berikutan itu, Jafry sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya sama-sama membendung aktiviti pemasangan jerat kerana menyalahi undang-undang berikutan boleh mencederakan dan menyebabkan kematian hidupan liar terutama haiwan terancam seperti gajah.

Menerusi kenyataan media Jafry semalam, tapak kaki anak gajah malang itu dilaporkan terpaksa dipotong hingga paras pergelangan kaki bagi mengelak jangkitan kuman selepas keadaan kakinya hampir putus akibat dibelit tali jerat.

Dalam kenyataan sama semalam, Jafry berkata JHLS menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada mana-mana pihak yang boleh memberi maklumat mengenai aktiviti pemasangan jerat yang mengancam hidupan liar terbabit.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu boleh menghubungi talian 016-810 9901 dan tidak perlu risau mengenai kebocoran identiti kerana segala maklumat dirahsiakan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *