Ambil nilai murni Kaamatan perkukuh kerjasama kerajaan Sabah – Hamzah

BELURAN: Nilai murni kebudayaan dan perpaduan dalam Pesta Kaamatan wajar diketengahkan ke peringkat kepemimpinan kerajaan negeri Sabah, bagi memperkukuh kerjasama terutama membabitkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, GRS berjaya membuktikan kemampuan dalam menggabungkan parti di negeri itu atas satu fokus yang sama, iaitu membangun dan melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat.

“Pesta Kaamatan berupaya merapatkan hubungan masyarakat pelbagai kaum, anutan serta fahaman dan apa yang kita lihat daripada pesta ini adalah sesuatu untuk kita rapatkan silaturahim,” katanya selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Beluran hari ini.

GRS dianggotai BERSATU Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir negeri itu.

Dalam pada itu, beliau turut berharap Pesta Kaamatan dapat diketengah di peringkat lebih tinggi terutama dalam usaha menarik pelancong luar untuk melihat keunikan kebudayaan masyarakat Sabah yang masih mengekalkan kebudayaan dan warisan turun-temurun.

Dalam perkembangan berasingan, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya akan memastikan pembinaan sebuah markas bagi menempatkan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran direalisasikan secepat mungkin.

Ketika ini, batalion itu beroperasi di bangunan yang disewa berhampiran Sandakan.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pula berkata, Pesta Kaamatan yang sentiasa disambut meriah oleh semua masyarakat di Sabah, berjaya memupuk perpaduan dan nilai saling menghormati.

Mengulas pembinaan markas Batalion 20 di Beluran, beliau menyambut baik rancangan itu untuk direalisasikan secepat mungkin bagi memastikan operasi PGA berjalan lancar dan keselamatan masyarakat di daerah itu terjamin.

“Beluran terdedah kepada perairan Laut Sulu yang terdedah kepada ancaman keselamatan dan perlu dilindungi,” katanya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *