Air mata gembira iringi kepulangan rakyat Sabah selepas dua tahun
KOTA KINABALU – Tangisan kegembiraan dan laungan “Kami sudah pulang!” memenuhi setiap ruang Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini (Sabtu) selepas penerbangan AK1794 AirAsia dari Singapura yang membawa 119 penumpang, penerbangan antarabangsa pertama ke Sabah selepas lebih dua tahun, mendarat pada 2.30 petang.
Momen penuh emosi bagi kebanyakan rakyat Sabah yang menaiki penerbangan itu ialah ketika mereka menjejakkan kaki ke negeri kelahiran tercinta sehingga menitiskan air mata kegembiraan sambil memeluk ahli keluarga yang sudah lama tidak ditemui.
Huziah Siwis, 35, dari Telupid, Tongod berkata, dia meninggalkan tanah air semasa mula bekerja sebagai pembantu tukang masak di Singapura pada 2019 dan hanya berinteraksi dengan keluarganya terutama kedua ibu bapa menerusi telesidang secara dalam talian.
“Saya masih tidak boleh percaya, tangan saya menggigil apabila saya pulang ke tanah air selepas dua tahun, saya tidak boleh pulang sejak 2019 susulan pandemik dan sudah tentu saya gembira kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki ke negeri tempat tumpah darah saya iaitu Sabah.
“Saya telah mengambil cuti selama dua minggu yang akan saya gunakan terutama untuk meluangkan masa bersama keluarga di sini, kakak saya dan suaminya datang untuk menyambut kepulangan saya dan air mata kegembiraan menitis sebaik sahaja saya nampak dia,” kata anak keempat daripada enam beradik itu kepada pemberita di KKIA.
Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lepas dengan beberapa kelonggaran termasuk pembukaan semula sempadan negara selepas ditutup dua tahun lepas susulan pandemik Covid-19.
Hendry Andus, 28, anak bongsu daripada tiga beradik dari Inanam, berkata hasratnya untuk melaungkan “Kami sudah pulang!” tercapai apabila dapat kembali ke tanah air hari ini dan menghela nafas lega kerana dapat memeluk ahli keluarganya.
“Ia adalah satu cabaran kepada individu yang bekerja di luar negara seperti kami, mungkin negara lain lebih baik namun mana mungkin boleh membandingkannya dengan tempat sendiri iaitu Sabah dan Malaysia.
“Bak kata orang ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,’ kita tetap memilih tanah air yang tercinta,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik di Singapura sejak 2017.
Bagi Jacques Franck, 70, seorang pelancong dari Perancis, beliau gembira kerana akhirnya dapat menikmati percutiannya di Sabah apabila sempadan negara dibuka semula.
“Saya sememangnya sukakan Sabah dan telah berkunjung ke sini selama bertahun-tahun untuk bercuti, sudah tentu saya amat sedih apabila tidak dapat datang ke sini tetapi kini saya merancang untuk menikmati keindahan pulau serta hutan di Sabah,” kata pesara itu.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai pula berkata Kerajaan Negeri Sabah telah berusaha tanpa mengenal penat lelah dengan semua pihak bagi mengekalkan negeri itu sebagai destinasi tumpuan pelancong dan pengembara.
“Selamat pulang wahai anak jati Sabah, selamat datang ke negeri kami kepada pelancong dan pengembara serta nikmatilah kunjungan anda ke sini โฆdengan sokongan pihak berkepentingan yang utama seperti AirAsia, kami yakin industri pelancongan akan kembali ke peringkat prapandemik tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penumpang terbabit. – Bernama