ADUN Tandek gesa sistem perparitan, saliran dan jalan Kampung Mangkalua perlu dinaik taraf

KOTA MARUDU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kota Marudu digesa agar menaiktaraf jalan, sistem perparitan dan saliran untuk tanaman padi di Kampung Mangkalua, Tandek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding berkata disebabkan sistem saliran yang tidak sempurna, tanaman padi penduduk Kampung Mangkalua telah rosak akibat banjir baru-baru ini.

“Oleh itu sistem perparitan dan saliran perlu diperbaiki dengan segera demi kesejahteraan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan media selepas melakukan tinjauan di sini, hari ini.

Turut hadir mengiringi Hendrus, Penolong Jurutera Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Kota Marudu, Voo Hon Vun; Pegawai Pemimpin Masyarakat (UPPM), Majawap Masantun dan Pemaju Mukim, Canny Sadiwau.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pihak JPS perlu segera menaiktaraf parit dan saliran supaya laluan air menjadi lancar dan tidak merosakkan padi di sawah milik penduduk.

Pada masa yang sama katanya, jalan di kampung berkenaan juga perlu dinaik taraf dengan menambah ketinggian jalan supaya tidak dinaiki air apabila banjir.

“Saya memohon dengan Jurutera JPS Kota Marudu agar jalan kampung ditinggikan supaya dapat dilalui oleh kenderaan walaupun pada musim hujan,” kata Hendrus.

Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan menegaskan, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan semua sistem perparitan dan saliran sawah padi dan sentiasa bersedia untuk turun padang bersama pihak yang berkaitan bagi mengenal pasti kerja-kerja pembaikan yang perlu dilaksanakan.

Hujan yang berpanjangan sejak seminggu lalu mengakibatkan kawasan penanaman padi terjejas dan tanaman rosak kerana dibanjiri air.

“Pihak saya akan bekerjasama dengan JPS Kota Marudu menangani masalah melibatkan perparitan dan saliran sawah padi penduduk kampung ini,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *