ADUN Lamag agih 300 bakul makanan untuk penduduk kampung terjejas banjir

BUKIT GARAM: Sebanyak 300 bantuan bakul makanan telah diagihkan ke beberapa buah kampung di Lamag khususnya yang terjejas akibat banjir.

Pengagihan sumbangan terbabit diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.58 Lamag yang diketuai Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Lamag, Abu Bakar Gapar.

Katanya, pengagihan bakul bantuan makanan terbabit dilakukan selepas menerima arahan dari ADUN Lamag yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk kampung yang terjejas banjir.

“Oleh kerana kita mematuhi arahan PKP, Bung sendiri tidak dapat turun padang melawat kawasan ketika ini namun dengan kerja sama dari semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) untuk menyelaras bantuan ini untuk dihantarkan segera kepada penerima,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menerima aduan berhubung parit yang tersumbat di beberapa buah kampung di kawasan tersebut dan tindakan susulan akan dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Kinabatangan, Superitendan Dzulbaharin Ismail di ibu pejabat Polis Daerah Kinabatangan bagi membincangkan isu-isu semasa terutamanya persediaan dari segi aspek keselamatan bagi menghadapi kemungkinan banjir besar akan berlaku di daerah ini.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *