514 ketua isi rumah, tujuh kampung mendapat bantuan bakul makanan

KOTA MARUDU: Kerajaan negeri terus komited membekalkan bantuan bakul makanan melalui Pusat Bantuan Bencana Daerah kepada 514 Ketua Isi Rumah (KIR) dari tujuh buah kampung di Tandek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding terus giat menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk kampung yang terputus hubungan dan bekalan makanan.

Edaran bantuan bakul makanan kali ini bertumpu di tujuh kawasan kampung yang sukar dimasuk oleh kenderaan kecil, iaitu kampung Sosogon Magandai, Sonsogon Paliu, Sonsogon Makatol Laut, Sonsogon Suyad, Lingkabungan Satu, Sungai Magandai, dan Binontungan Suyad.

Sebanyak 11 buah kenderaan pacuan empat roda digunakan dalam misi kali ini yang mengambil masa perjalanan selama 12 jam.

Turut serta dalam mengedarkan sumbangan bantuan bakul makanan, Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Christopher Mandut, Pegawai Daerah Kota Marudu, William Ahlan, Pegawai Kebajikan Saimah Soluping, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen (KPPP), Marianah Majinau, kakitangan UPPM dan Pejabat ADUN Tandek.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas keperihatinan kepada rakyat di kawasan Tandek serta semua pihak yang terlibat sama menghantar bantuan bakul makanan ini.

“Kos penghantaran bantuan bakul makanan dan lain-lain kos dibiayai oleh Datuk Dr. Maximus J. Ongkili yang merupakan Ahli Parlimen Kota Marudu dan juga dirinya sendiri.” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Baru-baru ini, hujan yang berterusan selama seminggu telah menyebabkan banjir di kawasan Tandek sehingga penduduk kampung terputus hubungan dan bekalan makanan.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.