5,054 premis perniagaan diperiksa KPDNHEP Sabah sepanjang PKP

KOTA KINABALU: Sebanyak 5,054 buah premis perniagaan telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 13 Januari lepas.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmy Yahya berkata daripada jumlah terbabit, sebanyak 34 premis perniagaan telah dikenakan tindakan dengan beberapa akta tertentu mengikut jenis kesalahan.

“17 kes kegagalan meletakkan tanda harga dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, lima kes tidak memiliki lesen atau permit untuk menjual atau penyimpan barangan kawalan berjadual dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Selain itu, terdapat dua kes meletakkan harga yang mengelirukan ke atas barangan dan dikenakan tindakan Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 serta 10 kes
menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan dikenakan tindakan di bawah
Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

“Tindakan kes di bawah pelbagai akta dikuatkuasakan yang telah diambil ke atas 34 premis perniagaan tersebut membabitkan nilai rampasan sebanyak RM32,015.00,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Walkabout Pemantauan Pematuhan SOP PKP dan Pemeriksaan Bekalan Dan Harga Barangan, di sini, hari ini.

Turut bersama dalam tinjauan, Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Sabah, Taha Julai.

Dalam pada itu, Shahelmy turut berkata pihaknya melakukan tinjauan terbabit bersama KPDNHEP Sabah untuk meninjau tahap pematuhan peniaga serta pengguna ke atas prosedur operasi standard (SOP) ketika PKP dan juga memeriksa bekalan barang-barang keperluan asas serta kedudukan harga barangan terbabit.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *