40 LAGI MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU BAKAL DIBINA DI PARLIMEN PENSIANGAN

KOTA KINABALU: Sebanyak 40 unit menara telekomunikasi baharu bakal dibina di kawasan Parlimen Pensiangan sementara 44 unit lagi menara sedia ada akan dinaik taraf kepada rangkaian 4G menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup.

“Projek pembangunan rangkaian telekomunikasi ini dijangka akan disiapkan pada tahun 2022 kerajaan sedang mengusahakan pembinaan tambahan menara komunikasi baharu di bawah program JENDELA,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ini menunjukkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi khususnya di kawasan pedalaman Sabah akan terus dipertingkatkan bagi tujuan keselesaan penduduk luar bandar, katanya.

Beliau berkata usaha itu juga adalah bertujuan memastikan bahawa kawasan luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan dan agar penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Apabila kerajaan meluluskan projek pembangunan menaik taraf telekomunikasi yang begitu besar sekali, menunjukkan bahawa penduduk luar bandar akan dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Ini bertujuan untuk merapatkan jurang perbezaan di antara bandar dengan luar bandar serta jurang perbezaan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung,” katanya lagi.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *