3720 tapak binaan projek diperiksa CIDB Sabah sejak PKP fasa pertama

KOTA KINABALU: Sebanyak 3720 tapak binaan projek telah diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sabah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dilakukan di negeri ini.

Pengarahnya, Rosmen Ag Hassan berkata setakat 10 Februari lepas, pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan bagi memaatikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tapak binaan amat baik khususnya dalam PKP fasa kedua ini.

“Walaubagaimanapun, terdapat beberapa amaran secara lisan telah dikeluarkan kepada kontraktor yang kurang mematuhi sebahagian SOP dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diarahkan untuk membuat penambahbaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmen dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam turut berkata pihaknya juga telah menjalankan Program Operasi (Rutin) Khas Penguatkuasaan bersama beberapa agensi kerajaan lain.

Katanya, operasi terbabit membabitkan agensi Kementerian Kesihatan Malaysia (Sabah) KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah (JKKP), Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sabah (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial-(PERKESO).

“Objektif utama operasi ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada pemain industri terhadap budaya norma baharu untuk menangani penularan wabak COVID-19 ditapak binaan berpandukan kepada SOP yang telah dikeluarkan MKN.

“Hasil daripada pemeriksaan tapak pada hari ini, CIDB telah memeriksa sebanyak satu kontraktor utama dan sembilan sub kontraktor.

“Kita telah memeriksa seramai 300 pekerja dan bilangan pekerja asing seramai 220 orang dan seramai 80 orang pekerja tempatan. Kesemua pekerja asing telah menjalani ujian COVID-19.

“Sebanyak satu notis telah dikeluarkan oleh CIDB kepada Kontraktor diikuti oleh DBKK enam kompaun, JKKP tiga notis, JTK Amaran lisan mengenai struktur bangunan dan kemudahan asas rumah kongsi (Akta 446), PERKESO satu notis Makluman (Sek. 21, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 – Akta 342) dan JKNS Amaran lisan (Akta 154) Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1925,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Rosmen berharap pemain industri Sabah mematuhi peraturan dan SOP yang telah ditetapkan bagi menangani penularan wabak COVID-19 khususnya di tempat kerja seperti tapak binaan.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *