324,573 orang terima Bantuan Prihatin COVID-19 di Sabah

TUARAN: Seramai 324,573 penerima Bantuan Prihatin COVID-19 2.0 di negeri ini mendapat bantuan tunai secara one-off RM300 setakat 5 April 2021.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri itu membabitkan jumlah sebanyak RM97,371,900.

Menurutnya, bagi bantuan bakul makanan, sebanyak 296,638 bakul makanan atau kira-kira 93.93 peratus sudah diagihkan kepada penerima untuk tempoh yang sama.

Katanya, pengagihan pelbagai bantuan ini membuktikan kerajaan negeri komited membantu rakyat daripada pelbagai aspek bagi memulihkan kehidupan yang terjejas berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan tambahan sebanyak RM160 juta dalam Bantuan Prihatin COVID-19 untuk mereka yang terkesan dengan pandemik berkenaan.

“Bantuan RM160 juta itu adalah tambahan kepada peruntukan segera sebanyak RM50 juta yang diluluskan oleh kerajaan negeri pada awal Oktober lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Amal Bantuan Bakul Makanan Maxis di Dewan Terbuka Masjid Haji Noor di Kampung Serusup di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada syarikat telekomunikasi Maxis yang memberi sumbangan bakul makanan kepada rakyat Sabah yang terjejas dengan COVID-19.

“Alhamdulillah banyak syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu dan diharap lebih ramai lagi yang akan membantu,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat di negeri ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan berdisiplin agar penularan COVID-19 dapat diputuskan.

Menurutnya, kerajaan menerusi jabatan dan agensi serta pemimpin di peringkat akar umbi turut turun padang untuk menjelaskan mengenai manfaat mendapatkan vaksin. 

“Saya minta mereka yang belum mendaftar (untuk imunisasi) agar segera berbuat demikian. Saya sendiri sudah dua kali mengambil vaksin ini dan tiada apa-apa berlaku.

“Jangan takut dan jangan mudah percaya dengan apa yang dibaca di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wilayah Sabah Maxis Bhaarathyraja Thanapal berkata, pihaknya memperuntukkan RM1 juta kepada GLC/GLIC Disaster Response Network (GDRN) untuk kempen industri ‘To Malaysia With Love untuk barisan hadapan dan rakyat yang terkesan dengan COVID-19.

Katanya, dalam fasa pertama kempen itu, Maxis menyumbangkan RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) untuk menyediakan sebanyak 5,000 kotak makanan kepada rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19 dan banjir.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,000 kotak makanan disalurkan kepada golongan B40 di Sabah, dengan 1,700 daripadanya sudah diagihkan bermula Januari lepas.

“Antara kawasan yang terlibat termasuk Kinarut, Kanibongan, Kota Belud, Papar, Penampang, Beaufort, Putatan, Tawau, dan Lahad Datu. 

“Hari Ini, sebanyak 300 kotak makanan diagihkan di tiga kampung di Tuaran iaitu Serusup, Tajau dan Bolong Lama,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai dan Pegawai Daerah Tuaran Sadan Husaain. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *