3 termasuk ibu dan bayi maut, nahas kereta dinaiki 5 sekeluarga

SEMPORNA: Tiga sekeluarga termasuk ibu bersama bayi berusia 10 bulan maut, manakala dua lagi ahli keluarga mangsa parah dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Tagasan, Semporna-Tawau, di sini, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu membabitkan sebuah kereta Perodua Kancil, kenderaan pacuan empat roda jenis Ford dan sebuah lori 20 tan membawa muatan kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata tiga mangsa terkorban itu disahkan adalah penumpang Perodua Kancil yang dinaiki lima sekeluarga.

“Mangsa yang maut ialah isteri kepada pemandu Perodua Kancil berumur 30 tahun dan duduk di kerusi penumpang hadapan bersama bayi perempuan mereka yang sedang dipangkunya.

“Seorang lagi mangsa, remaja lelaki berusia 13 tahun (anak saudara) mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna.

“Pemandu kereta itu yang berumur 30 tahun bersama seorang lagi penumpang wanita (adik) berusia 27 tahun pula masing-masing cedera di kepala dan patah tangan kiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Farhan berkata, insiden berlaku ketika kereta Perodua Kancil berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Lihak menuju ke Kampung Salimbangun, manakala kenderaan pacuan empat roda dipandu pemuda berusia 21 tahun dalam laluan sama.

Setiba di tempat kejadian, beliau berkata, pemandu Perodua Kancil dikata memperlahankan kenderaannya sebelum dipercayai tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan Perodua Kancil berkenaan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori 20 tan.

“Akibat rempuhan itu, dua penumpang maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu kenderaan pacuan empat roda dan lori berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, pemandu Ford terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas berkenaan pada jam 4.29 petang.

“Terdapat lima mangsa tersepit di dalam sebuah Perodua Kancil sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian, dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tiga lagi mangsa pula mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Semporna,” katanya sambil memaklumkan operasi ditamatkan pada jam 5.14 petang. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published.