3 buah sekolah masih perlu menjalankan PdPR sehingga keadaan kembali pulih

Gambar hiasan. Foto : MOE

KOTA KINABALU : Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Mistirine Radin mengeluarkan kenyataan bahawa tiga buah sekolah yang masih terkesan akibat banjir di negeri itu terpaksa menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka.

Tiga sekolah tersebut, SK Penontomon di Pensiangan, SK Pantai Boring di Beluran dan prasekolah di SK Lago, Beaufort, akan menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga keadaan kembali pulih.

“Murid-murid akan mengikuti PdPR mulai hari ini sehingga sekolah selamat dan bersih untuk persekolahan bersemuka,” jelasnya.

Seramai 12 guru dan 69 murid di SK Penontomon, 13 guru dan 85 murid di SK Pantai Boring, serta seorang guru dan 15 murid di prasekolah SK Lago terbabit dalam menjalankan PdPR manakala, sebanyak 1,075 buah sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang membabitkan 320,912 murid dan 26,146 guru telah mula beroperasi sejak semalam.

Pada masa yang sama, 215, 483 pelajar daripada 218 sekolah menengah dan 38 sekolah swasta di Sabah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) turut memulakan operasi dan meneruskan pembelajaran sesi penggal ketiga 2021/2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published.