180,672 pelajar sekolah menengah mula sesi persekolahan di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 180,672 pelajar sekolah menengah memulakan sesi persekolahan di seluruh Sabah bermula hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin berkata, jumlah berkenaan melibatkan pelajar sekolah menengah kerajaan dan sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bagaimanapun katanya, jumlah terbabit tidak melibatkan pelajar dari daerah Tawau dan Keningau seramai 33,424 orang yang masih menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurutnya dalam satu kenyataan, seramai 20,059 pelajar sekolah menengah di Tawau dan 13,365 pelajar di Keningau masih belum memulakan persekolahan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kedua-dua daerah itu.

Katanya, jumlah keseluruhan pelajar sekolah menengah di Sabah bagi sesi persekolahan tahun ini adalah seramai 214,096 orang.

Penguatkuasaan PKP bagi daerah Tawau tamat 16 April manakala Keningau pada 18 April 2021.

Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo di Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu (KKHS) mendapati proses kemasukan pelajar ke kawasan sekolah berjalan lancar walaupun berlaku sedikit kesesakan di laluan menuju ke sekolah berkenaan.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) KKHS Tan Hock Siong berkata, maklumat mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih awal dihebahkan kepada semua pelajar melalui guru kelas masing-masing.

Katanya, langkah itu bagi memastikan semua pelajar sentiasa ingat untuk mematuhi SOP sepanjang berada di dalam kawasan sekolah.

“Kita juga faham situasi kesesakan terutama semasa waktu pelajar balik. Justeru, sistem pulang secara berperingkat dilaksanakan di sekolah ini.

“Selain kerjasama di antara pihak sekolah dengan PIBG, Lembaga Sekolah juga sama-sama membantu menyediakan kemudahan tambahan bagi pematuhan SOP di sekolah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, ramai dalam kalangan ibu bapa yang mahu sesi persekolahan dibuka semula memandangkan pendekatan belajar secara bersemuka jauh lebih baik berbanding PdPR.

“Kalau bukan hari ini, lambat laun sekolah tetap akan dibuka juga walaupun memang ada kerisauan dalam kalangan ibu bapa.

“Lebih-lebih lagi untuk kelas yang ada peperiksaan utama memang ramai yang minta supaya sekolah dibuka semula,” katanya. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *