OPR dijangka naik lagi, ini penjelasan pakar

KUALA LUMPUR: Satu lagi kenaikan 25 mata asas (bps) untuk Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menunjukkan prospek ekonomi Malaysia yang positif, didorong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pertumbuhan eksport yang kukuh, menurut MIDF Research.

Katanya, BNM menjangka momentum pertumbuhan berada pada landasan yang kukuh berikutan peralihan kepada endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang telah menjana aktiviti ekonomi yang lebih kukuh, kadar pengangguran yang lebih rendah dan lebih ramai memasuki kadar pasaran pekerjaan serta prospek pendapatan yang lebih baik.

“Kami percaya penilaian terkini menunjukkan keyakinan yang berterusan bahawa keadaan makroekonomi Malaysia akan terus bertambah baik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang keempat pada 5 dan 6 Julai, bank pusat memilih untuk menaikkan OPR daripada 2.00 peratus kepada 2.25 peratus, berpadanan dengan jangkaan firma penyelidikan dan pasaran.

Ini berikutan kenaikan 25 bps kepada 2.00 peratus pada mesyuarat pada 10 dan 11 Mei.

MIDF menjangka normalisasi dasar seterusnya dijangka dilaksanakan pada mesyuarat MPC pada September 2022 dengan satu lagi kenaikan 25 bps.

“Kami percaya tumpuan semasa dasar monetari BNM ialah memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan. Dengan trend inflasi teras yang meningkat dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami percaya BNM akan menaikkan OPR sebanyak 50 bps pada separuh kedua tahun 2022,” katanya.

Bagaimanapun, katanya keputusan itu tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan keadaan makroekonomi yang bertambah baik, terutamanya pemulihan yang berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang meningkat.

Dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar perlu untuk mengelak risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang tinggi secara berterusan dan peningkatan hutang isi rumah.

Menurut Bank Islam Malaysia Bhd, ahli MPC berpendapat bahawa tahap akomodasi monetari perlu diselaraskan berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi yang positif.

Setakat ini, katanya BNM telah menunjukkan bahawa pelarasan dalam dasar monetarinya, seperti yang dapat dilihat daripada OPR, akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Oleh itu, kami percaya kenaikan OPR sebanyak 50 bps secara sekali gus adalah tidak dipertimbangkan. Kami percaya BNM mungkin mahu menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada September berikutan tumpuan kini untuk menangani tekanan inflasi yang tinggi disebabkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi,” kata Ketua Ekonomi, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

OCBC Bank menekankan bahawa walaupun inflasi keseluruhan terkini sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun pada Mei adalah lebih tinggi daripada 2.7 peratus yang dijangkakan, kadar peningkatan adalah kurang membimbangkan berbanding di negara lain.

“Yang pasti, terdapat bidang yang jelas yang perlu dipantau dengan teliti. Ini termasuk harga makanan yang telah meningkat kepada 5.2 peratus tahun ke tahun, didorong oleh barangan seperti harga ayam, yang naik 13.4 peratus tahun ke tahun.

“Hakikat bahawa inflasi teras telah meningkat daripada 2.1 peratus kepada 2.4 peratus adalah peringatan mengenai potensi untuk meluaskan tekanan harga selain kategori makanan dan bahan api,” kata Ahli Ekonomi, Wellian Wiranto dalam nota penyelidikan.

Ketua Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias, berkata bank pelaburan itu mengekalkan pandangannya bahawa sejumlah 75 bps pada tahun ini kepada 2.50 peratus dan kenaikan 50 mata asas lagi pada tahun depan kepada 3.00 peratus.

Baru-baru ini, bank pelaburan itu menganggarkan kenaikan OPR sebanyak 100 bps untuk tempoh antara separuh kedua 2022 dan separuh pertama tahun depan.

-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *