Data, kecerdasan digital sebagai nadi ekonomi digital

KUALA LUMPUR (Berita Harian): Kerajaan akan menerajui usaha menjadikan data dan kecerdasan digital sebagai nadi ekonomi digital di Malaysia.

Itu antara pelan hala tuju ditetapkan di bawah fasa pertama MyDIGITAL-Rangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang akan dilaksana bagi mencapai matlamat jangka panjang.

Selain itu, rangka kerja kawal selia yang kondusif juga dilaksana bagi mempercepat pembangunan infrastruktur digital di samping peningkatan keyakinan menggunakan teknologi oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam usaha memacu transformasi dan keterangkuman digital iaitu di bawah fasa kedua, kerajaan akan beroperasi melalui perkhidmatan e-kerajaan secara meluas dengan penggunaan teknologi dan data yang berkesan bagi memberi manfaat kepada orang awam dan perniagaan.

Jaguh tempatan yang berpotensi menjadi pemain serantau juga dikenal pasti dan dilatih, di samping pelaksanaan lebih banyak projek infrastruktur jalur lebar dalam masa yang singkat.

Tenaga kerja yang cekap dan tangkas akan digandakan bagi meningkatkan nilai tambah kepada sektor ekonomi serta kepada komuniti setempat.

Akses yang saksama kepada peluang meningkatkan status sosioekonomi selain peningkatan kepercayaan terhadap agensi pengurusan data peribadi dan kerahsiaan data serta peraturan yang fleksibel dan tidak merencatkan inovasi dalam bidang perniagaan bagi ekonomi gig.

Bagi fasa ketiga yang bertujuan menjadikan Malaysia pengeluar produk digital dan penyedia penyelesaian digital bagi pasaran serantau, kerajaan yang dipacu data, dengan pendigitalan yang tinggi bagi semua proses dan data akan dijadikan asas pentadbiran yang menghubungkan masyarakat, perniagaan dan kerajaan.

Urusan menjalankan perniagaan menjadi lebih mudah dengan kerajaan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memulakan dan menjalankan perniagaan.

Langkah itu bagi melahirkan kumpulan bakat digital berkualiti tinggi dan masyarakat digital yang inklusif serta peningkatan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan perniagaan dan masyarakat. -SUMBER: BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *