‘Wali Tujuh’ dibimbangi ancam keselamatan: Arifin

KOTA KINABALU: Ajaran kumpulan ‘Wali Tujuh’ yang didakwa menuntut ilmu kebal dan batin dibimbangi boleh mendatangkan ancaman keselamatan terhadap negeri ini.

Bagaimanapun, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan pejabat mufti masih mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu.

“Itu tidak mustahil (mengancam keselamatan) dan sebab itu kita perlukan penjelasan kerana kita tidak mahu nilai-nilai yang bertentangan dengan agama.

“Biasanya yang bertentangan, yang menyeleweng ini mudah untuk ekstrem, mudah untuk menyelewengkan semangat atau akidah untuk melakukan sesuatu kekerasan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Surau Al-Abid, Desa Kastam Sepanggar di sini pada malam Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tangkapan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai terbabit dalam ajaran meragukan di Kinabatangan pada Selasa lalu yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada Sabah.

Diminta mengulas lanjut, pihaknya sedang mendapatkan maklumat sejauh mana penyebaran ajaran berkenaan di seluruh negeri ini dan dijangka maklumat berhubung perkara itu diterima dalam masa terdekat.

“Kita akan dapatkan maklumat dulu, dalam minggu ini ada data. Kita akan dapatkan juga sumber daripada yang membuat laporan berkenaan.

“Mufti sedang meneliti perkara berkenaan dan kita boleh rujuk kepada mufti kita,” katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini bahagian penguat kuasa dan pegawai tadbir JHEAINS daerah telah diarah untuk membuat siasatan mengenainya.

“Hasil siasatan akan dibawa ke pejabat mufti untuk mendapatkan pandangan hukum berhubung ajaran itu.

“Ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau ajaran-ajaran sesat yang menyeleweng boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS),” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Arifin menasihatkan orang ramai yang meragui sesuatu ajaran diminta merujuk atau melaporkan segera kepada JHEAINS di daerah-daerah.

“Kalau kita di daerah, rujuk kepada JHEAINS, rujuk kepada guru-guru agama kita yang bertauliah dan sekiranya kita ragu-ragu insya-ALLAH kita akan berikan penjelasan.

“Sebelum ini pun kita sudah mewartakan beberapa ajaran yang menyeleweng dan ini boleh dirujuk daripada warta dan juga kepada irsyad hukum jabatan atau Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Arifin menghadiri Majlis Maulid dan Tahlil Perdana sempena Hari Kastam Sedunia yang ke-40 yang turut dihadiri Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Julaiman Soimin dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar. – Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *