Tekong darat 19 tahun, 6 PATI ditahan cuba masuk Sabah

TAWAU: Cubaan seorang pemuda berusia 19 tahun menyeludup masuk enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dipatahkan Tim OP Cegah Pati (OCP) Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), tengah malam tadi.

Warga Filipina terbabit bersama kumpulan PATI berkenaan yang dipercayai baru tiba dari Sulawesi, Indonesia, ditahan dalam serbuan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, dekat sini, pada 12.05 tengah malam.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brig Jen Abdul Karim Ahmad, berkata semua suspek ditahan hasil maklumat dan risikan.

Beliau berkata, pasukan keselamatan terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama lima anggota tentera di bawah pemerintahan ATB 2 membuat rondaan dan pemantauan sebelum mengesan bot laju dinaiki PATI terbabit sedang mendarat di pesisir pantai Kampung Kurnia Jaya.

“Bagaimanapun, juragan bot yang menyedari kehadiran pihak berkuasa melarikan diri sejurus menurunkan kesemua PATI berkenaan. Enam suspek berusia sembilan hingga 46 tahun, termasuk seorang wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang budak perempuan berjaya diberkas,’ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, hasil siasatan mendapati semua suspek termasuk tekong darat tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *