Salah guna kuasa, penolong pegawai pendidikan daerah ditahan SPRM

SANDAKAN: Seorang penolong pegawai pendidikan daerah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas dipercayai menyalahgunakan kedudukan dengan melantik syarikat anak saudaranya bagi mendapatkan tender kantin sebuah sekolah.

Suspek lelaki berumur dalam lingkungan 40an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah Cawangan Sandakan, kira-kira jam 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, suspek menggunakan kedudukannya sebagai penolong pegawai pendidikan daerah untuk mendapatkan tender kantin sekolah bernilai kira-kira RM50,000.

Katanya, tender bagi tempoh tiga tahun itu diberi kepada syarikat milik anak saudaranya bagi Disember 2015 hingga November 2018.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam tempoh terdekat. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published.