Reman suspek kes cabul Unduk Ngadau disambung

KOTA KINABALU: Reman membabitkan seorang ahli politik yang didakwa mencabul seorang peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, disambung sehingga Rabu ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, siasatan kes membabitkan bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu kini membabitkan dua hingga tiga laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Beliau berkata, permohonan penyambungan tahanan reman sudah dilakukan pasukan siasatan polis.

Katanya, ia bagi membantu siasatan berhubung suspek sebelum tindakan selanjutnya termasuk kemungkinan pendakwaan dilakukan.

“Setakat ini, kes masih disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Pada 3 Jun lalu, seorang ahli politik sebuah parti tempatan yang didakwa mencabul seorang peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, ditahan polis.

Lelaki terbabit ditahan di pejabatnya di Asia City, di sini, pada jam 1 tengah hari, selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya 19 Mei lalu.

Dalam laporan itu, mangsa mendakwa diraba di bahagian badan termasuk paha, belakang badan, leher serta tangannya dan mangsa turut bertindak menepis perbuatan suspek. Sumber Berita : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *