Rasuah babitkan kontraktor di Sabah membimbangkan: SPRM

TAWAU – Kes rasuah melibatkan kontraktor bagi kerja-kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan di Sabah agak tinggi dan membimbangkan, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah S Karunanithy.

Katanya, berdasarkan rekod bagi tempoh 2018 sehingga 2020 seramai 47 kontraktor membabitkan syarikat kontraktor kelas F dan G yang menawarkan kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan, dituduh di mahkamah.

Keseksaan iaitu kesalahan memberi rasuah untuk memperoleh kontrak dan mengemukakan tuntutan palsu serta menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen.

“SPRM sentiasa menerima maklumat rasuah yang dilakukan kontraktor dalam usaha mendapatkan kerja-kerja perolehan (kontrak) daripada agensi kerajaan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas forum Antirasuah Peranan Kontraktor Dalam Memerangi Rasuah yang dirasmikan Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di sini, pada Sabtu.

Karunanithy menasihatkan semua kontraktor agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak mengambil mudah perkara membabitkan rasuah kerana isu memalsukan dokumen cukup mudah untuk dikesan.

Mengenai forum berkenaan, beliau berkata program seumpama itu akan diperluaskan ke daerah lain antaranya ke Sandakan sebagai usaha memberi pendedahan kepada kontraktor agar tidak terlibat dalam jenayah rasuah.

Sementara itu, Nizam berharap agar lebih banyak agensi kerajaan dan sektor swasta tampil melaksanakan program dengan SPRM sekali gus memberi pemahaman mendalam mengenai isu rasuah kepada masyarakat dan usaha menanganinya.

Beliau berkata, melalui program itu juga, ia dapat mengetengahkan kesan daripada rasuah iaitu daripada sudut ekonomi, sosial mahupun politik. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.