Polis siasat aspek kecuaian kes tahanan mati terjun bangunan
SHAH ALAM: Polis Selangor akan memberi tumpuan terhadap aspek kecuaian anggota dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan kes kematian seorang tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata kes berkenaan kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan.
Katanya, pegawai penyiasat yang berpangkat sarjan itu sudah ditukarkan serta-merta sementara pihaknya menunggu hasil siasatan lanjut berhubung kes itu.
“Tindakan selanjutnya akan diambil selepas ini bergantung kepada hasil siasatan nanti.
“Kertas siasatan mati mengejut (SDR) turut dibuka selari dengan tujuan kita untuk tentukan punca kematian dan pemeriksaan di lokasi kejadian sudah dilaksanakan oleh JSJ IPK Selangor,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 1.50 petang semalam, tahanan berusia 36 tahun itu mati ketika cuba melarikan diri selepas diambil keterangan oleh pegawai penyiasat mengenai kes kecurian tong gas.
Katanya, suspek yang dalam tahanan reman itu kemudian dibawa pegawai penyiasat kembali ke lokap sebelum lelaki itu bertindak menolak pegawai tersebut dan terjun melalui satu tingkap yang terbuka di tingkat dua.
“Tahanan jatuh di luar konkrit antara tingkat satu dan dua sebelum terjatuh ke atas sebuah motosikal di kawasan parkir.
“Ini menyebabkan keretakan pada bahagian tempurung kepala dan muka tahanan tersebut. Bedah siasat terhadap mayat tahanan itu akan dilakukan petang ini,” katanya.