Polis Marin berjaya merampas syabu dianggarkan bernilai RM426,725

TAWAU: Semasa dalam operasi Op Benteng Covid, sepasukan terdiri daripada dua pegawai polis dan sembilan anggota Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah (4) Sabah bersama empat anggota Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Tawau telah menjalankan pemantauan dan rondaan di kawasan perkampungan atas air, Kampung Hidayat Tawau pada malam semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau Wilayah 4 Sabah, DSP Mohd Nazari Ismail berkata “rondaan dan pemantauan oleh pasukan berkenaan di kawasan tersebut telah mengesan dan menghampiri dua (2) buah bot dalam keadaan mencurigakan.

Semasa menghampiri bot untuk diperiksa, kelihatan tiga (3) orang telah bertindak terjun ke laut dan melarikan diri meninggalkan bot mereka.”Pemeriksaan awal keatas bot telah menjumpai sebuah beg berwarna biru hitam dan terdapat lima bungkusan hitam pelbagai saiz.

Bot berkenaan telah di tunda dan dibawa ke Markas Operasi Polis Marin Tawau untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan bot, beg dan barang-barang berkenaan mendapati bungkusan mengandungi plastik lutsinar disyaki ketulan dadah jenis syabu yang berat dianggarkan 4.3 kilogram.

Turut dirampas sebuah bot fiber bersama enjin 200hp dan sebuah perahu kayu bersama enjin 15hp berserta dadah disyaki ketulan syabu dianggarkan bernilai RM426,725.00 telah dirampas dan kes akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau dan disiasat dibawa seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pasukan Polis Marin amat mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 agar tindakan dapat dilaksanakan.

Sumber Berita: Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published.