Peter Anthony dilepas dan dibebas

KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM8.75 juta.

Ini berkaitan kes jualan tanah kepada RISDA di daerah Tongod di antara 2014 dan 2016.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu juga dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan seorang peguam kerana melakukan pecah amanah jenayah.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan melepas dan membebaskan Peter daripada semua pertuduhan itu, susulan perkembangan terbaharu dalam kes berkenaan.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbang hujahan pihak pendakwaan dan permintaan pihak pembelaan, selain peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah pelepasan tidak akan menjadi pembebasan melainkan dengan arahan mahkamah.

“Bermakna bahawa mahkamah masih mempunyai budi bicara untuk memberikan perintah melepas dan membebaskan (tertuduh), jika pihak pendakwaan tidak lagi mahu meneruskan kes seperti apa yang berlaku dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah, pihaknya menerima representasi Peter.

Haresh meminta mahkamah untuk melepaskan Peter tanpa dibebaskan daripada keenam-enam pertuduhan, namun tidak menyatakan sebarang alasan kepada mahkamah alasan Peter boleh mendapatkan pelepasan.

Sementara itu, peguam Peter, Martin Tommy berterima kasih kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang menerima surat representasi mereka dan meminta pelepasan tanpa dibebaskan yang dikemuka pihak pendakwaan ditukar kepada dilepas dan dibebaskan.

Martin antara lain berkata, perkara dalam kes itu membabitkan wang berjumlah RM15 juta, sudah dibayar oleh seorang lagi tertuduh (peguam) kepada RISDA dan itu sebagai asas beliau meminta mahkamah melepas dan membebaskan Peter.

Pada 11 Jun 2020, Peter dibicarakan atas lima pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM8.75 juta antara 2014 dan 2016.

Semua pertuduhan dikaitkan dengan kes penjualan tanah kepada RISDA.

Dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 sebelum pindaan akta, manakala tiga pertuduhan lagi dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) akta sama selepas pindaan.

Akta berkenaan dipinda pada 1 September 2014.

Dalam satu lagi pertuduhan, Peter mengaku tidak bersalah pada 18 Jun 2020 atas dakwaan bersubahat dengan peguam Persius Henry Bolutong @ Michael Persius Ubu menggelapkan RM15,545,400 berhubung urus niaga tanah yang dikaitkan dengan RISDA di antara 2014 dan 2015.

Wang berkenaan dikatakan 10 peratus daripada hasil jualan tanah ladang kelapa sawit berkeluasan 2,739.19 hektar (6,768.688 ekar) di Sungai Pinangah dan Sungai Labau dalam daerah Tongod.

Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca mengikut Seksyen 409 kanun yang sama itu menetapkan hukuman penjara di antara dua hingga 20 tahun dan dengan sebat selain boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published.