Peserta perhimpunan protes berdepan tindakan tegas – Polis

KOTA KINABALU: Peserta perhimpunan memprotes pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, hari ini, akan dikenakan tindakan tegas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata, ia termasuk kemungkinan semua individu yang ditahan kerana terbabit perhimpunan itu, akan dikenakan kompaun hingga maksimum RM10,000.

Katanya, ia berikutan tindakan mereka jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

“Kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 terpakai untuk semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tindakan diambil mengikut Ordinan Darurat yang dilaksanakan dan ia adalah untuk keselamatan orang ramai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Kampung Muhibbah Raya ialah antara lokaliti dikenakan PKPD yang dijadualkan sepatutnya tamat semalam tetapi dilanjutkan hingga 8 Mei depan berikutan keadaan peningkatan kes yang signifikan.

Perkembangan itu menyebabkan beberapa individu didakwa tidak berpuas hati dan menganjurkan perhimpunan aman, hari ini, bagi memprotes pelanjutan tempoh berkenaan.

Susulan itu, enam individu dilaporkan ditahan kerana didapati melanggar SOP. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.