Peralatan kajian jalan bernilai RM100 ribu dirosakkan
BEAUFORT: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menerima laporan pagi 10 Jun 2022 dari syarikat yang dilantik untuk melaksana kajian jalan berkenaan peralatan dan sensor elektronik yang digunakan untuk kajian jalan telah dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Kejadian berlaku di Jalan Montenior Halogilat, Beaufort. Peralatan kajian jalan telah diletakkan di jalan berkenaan sekitar jam 11.00 malam, 08 Jun 2022.
Peralatan ini digunakan untuk mendapat data bilangan kenderaan yang melalui jalan tersebut. Data yang diperolehi membolehkan JKR Sabah menentukan tahap kerosakan yang berlaku di jalan tersebut dengan lebih tepat dan seterusnya menyediakan rekabentuk pembaikan jalan yang bersesuaian dengan tahap kerosakan yang berlaku.
Pada sekitar jam 03.00 petang, 09 June 2022 semasa lawatan semula ke lokasi pemasangan perlatan kajian tersebut, pekerja telah menemui peralatan kajian telah dialihkan dan dibuang ke dalam parit tepi jalanraya oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Perbuatan ini menyebabkan peralatan kajian rosak dan nilai kerosakan peralatan kajian dianggarkan mencecah RM 100 ribu. Pihak syarikat telah mengambil tindakan membuat laporan polis akibat kerosakan peralatan ujian tersebut.
JKR Sabah memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian merosakkan peralatan kajian tersebut supaya dapat memaklumkan pejabat JKR Beaufort atau ke Balai Polis yang berhampiran.