Penyeludupan rokok bernilai RM420,000 digagalkan

TAWAU: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok susulan kejayaan merampas 3,500 karton rokok yang dianggarkan bernilai RM420,000 termasuk cukai.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, rampasan itu dilakukan di sebuah stor di Kampung Sri Aman kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

Beliau berkata, semasa rondaan Op Benteng Bersama, pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah beberapa buah kotak ke dalam sebuah stor.

“Apabila menyedari kehadiran pasukan QRF berhampiran kawasan itu, kedua-dua lelaki tersebut bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal di stor tersebut mendapati ia digunakan bagi tujuan transit penyimpanan rokok seludup daripada Indonesia ke pasaran daerah ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 3,500 karton rokok seludup berjenama Astro Menthol King yang dianggarkan bernilai RM420,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan QRF melaporkan kejadian tersebut kepada pegawai bertugas di Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di Markas ATB 2 dan POWB telah meminta bantuan daripada pasukan Operasi Cegah PATI (OCP) Daratan bagi membantu proses serahan barang rampasan.

Abdul Karim berkata, ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar daerah ini.

Kemudian semua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah pada pukul 8.45 pagi untuk siasatan serta tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Menurut beliau, ATB 2 juga turut melaksanakan atur gerak operasi dengan pelbagai kaedah seperti menggabungkan semua aset serta elemen pengawasan secara terkoordinasi bagi memastikan perairan Sabah sentiasa terkawal.

Pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman keselamatan demi menjaga kedaulatan dan kemakmuran negara, khasnya di pantai timur Sabah. –UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.