Penyeludupan dadah tumpas

TAWAU: Polis Marin Tawau berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 28 tahun dan merampas sejumlah dadah beserta sebuah bot dan enjin di kawasan Kuala Sungai Tawau pada awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, Polis Marin Tawau dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau sedang membuat pemantauan risikan di kawasan kuala Sungai Tawau telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis (DSP) Mohd Nazari Ismail berkata, setelah memperkenalkan diri sebagai polis, dua orang suspek telah cuba melarikan diri.

Namun seorang dapat ditahan dan seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri. Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah beg silang yang dipakai suspek telah menemui sejumlah dadah disyaki jenis syabu.

Tangkapan dan rampasan dianggarkan bernilai RM59,080.00. Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau atas kesalahan seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pasukan Polis Marin Tawau sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan amat mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 agar tindakan dapat dilaksanakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *