Pelukis pelan, agen JPWNS didakwa terima, beri rasuah

KOTA KINABALU: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini selepas didapati memberi dan menerima suapan berkenaan penukaran status Zon Lot tanah di Kampung Bantayan di sini.

Pelukis pelan J22, Athanasius Bin John Malis,58 dan Pegawai Perancang Bandar dan Desa (J48) Shahrum Radzlee bin Mohd Samlih,38 masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama Athanasius secara rasuah meminta suatu suapan wang tunai sebanyak RM15,000 iaitu wang pendahuluan daripada RM60,000 daripada Muhammad Hasri Lim Abdullah sebagai dorongan untuk menukar Zon Lot tanah Kampung Bantayan Kota Kinabalu daripada Zon Countryside kepada Zon Residential tanpa mendapat kebenaran Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa (LPPBD) dan kelulusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 5 Sepetember 2019 di sebuah pusat beli belah di Karamunsing.

Pertuduhan kedua turut menyatakan tertuduh mendapatkan wang RM15,000 daripada penama sama di Parkir Kereta Tun Fuad Stephen Jalan Karamunsing manakala pertuduhan ketiga menunjukkan tertuduh menerima wang RM45,000 iaitu baki bayaran daripada RM60,000 pada 20 November 2019 di Lot Parkir kereta Medan Selera Grace Point, Jalan Pantai Sembulan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, dan pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009.

ementara itu, mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan kepada Shahrum, sebagai seorang ejen kepada Jabatan Perancangan dan Wilayah Negeri Sabah, iaitu Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Negeri Sabah menerima suapan RM22,500 daripada Athanasius pada 20 November 2019 di Lot Parkir kereta Medan Selera Grace Point Jalan Pantai Sembulan.

Suapan itu adalah bagi menandatangani surat pengesahan Zon bagi lot tanah Kampung Bantayan Kota Kinabalu sebagai Zon Residential tanpa mendapat kebenaran LPPBD dan DBKK.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama iaitu boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dan deposit RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi Athanasius manakala RM15,000 dengan wang pendahuluan RM8,000 kepada Shahrum dengan seorang penjamin tempatan.

Kedua-dua tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan mesti melapor diri ke Pejabat SPRM sekali dalam tempoh dua bulan dan tertuduh juga dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan sebelum dan semasa perbicaraan. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published.