Pasukan Keselamatan perlu sentiasa bersiap siaga ancaman ceroboh Sabah

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan negara wajar  mengambil langkah berjaga-jaga berhubung laporan anggota puak pemisah dari selatan Filipina bakal menyerang Sabah.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah meletakkan harapan, anggota tentera dan polis tidak harus memandang remeh tentang laporan tersebut walaupun ia bersifat spekulasi media luar negara, sebaliknya perlu meningkatkan operasi maritime di perairan Sabah.

” Kita harus mengambil iktibar rentetan peristiwa pencerobohan 9 Februari 2013 lalu di mana pasukan keselamatan tidak menyedari kehadiran bot pancung merentasi perairan Sabah membawa lebih 149 anggota kumpulan militan mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

” Kehadiran pasukan penceroboh hanya dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam yang kemudiannya membuat laporan  polis, ” ujarnya selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi Lahad Datu Sental di First Plam City, pagi tadi.

Majlis pembukaan itu dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri. Datuk Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pegawai Daerah, Dr Ayub Haji Yakob, Pengurus Besar LPPB,  Rosemary Ahping dan Pengarah Urusan syarikat pemaju Titi Jaya Berhad, Lim Poh Yit turut hadir di majlis tersebut.

Mengulas lanjut mengenai isu laporan pencerobohan itu, Masiung mengingatkan semua pihak termasuk Kementerian Pertahanan,  bahawa isu berkenaan merupakan satu isyarat menunjukan puak militan negara jiran mempunyi niat tersirat ke atas Sabah.

Satu portal tempatan yang mematik  sumber media berwibawa di Hong Kong, China menyatakan seramai 600 Tentera Diraja Sulu (RSA)  merancang akan melancarkan serangan besar-besaran ke atas Sabah menerusi Lahad Datu, Tawau dan Semporna.

Sumber itu memetik, ketumbukan pemberontak hampir satu batalion itu dicapai menerusi operasi khas yang telah dirancang hasil pertemuan rahsia melibatkan 19 Datuk Bandar di Filipina.

Bagaimanapun, hanya 11 Datuk Bandar dari wilayah selatan negara itu bersetuju merekrut paling kurang 600 anggota RSA bersenjata bersedia menyerang Sabah.

Masiung berkata, pencerobohan itu tidak mustahil akan berlaku bila-bila masa memandangkan kumpulan itu pernah membolosi perairan negeri ini dalam misi mereka 9 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut itu tidak menolak kemungkinan sudah ramai perisik RSA telah lama menyusup masuk ke pelbagai lokasi di Sabah.

” Sama ada laporan itu benar atau tidak pasukan keselamatan perlu menjalankan gerakkan terutama di perairan bandar-bandar utama di pesisir pantai seperti Lahad Datu, Tawau, Sandakan, Semporna dan Kudat, ” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan para nelayan dan orang ramai yang mungkin terserempak dengan kumpulan yang mencurigakan agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *