Op samseng jalanan di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Kinabalu yang diketuai oleh DSP Jo Ak Hang, Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik bersama 1 Pegawai dan 17 anggota telah menjalankan “Op Samseng Jalanan” di Jalan UMS Kota Kinabalu. Operasi ini telah berakhir 24 April 2022 jam 04.00 pagi setelah selesai proses dokumentasi.

Tujuan operasi “Op Samseng Jalanan” dijalankan adalah bagi mencegah dan membanteras samseng jalanan yang memandu atau menunggang kenderaan motor secara melulu dan merbahaya kepada orang awam.

Dalam operasi ini seorang lelaki tempatan berumur 20 tahun telah berjaya ditahan di Shell Innoprise UMS Kota Kinabalu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana telah melakukan aksi “wheelie” serta menunggang motosikal dengan kelajuan yang tinggi sambil menduga kelajuan dan bersaing dengan 2 buah lagi motosikal.

Menyedari kehadiran Polis, penunggang ini bertindak melawan arus menghala ke Shell Innoprise, UMS Kota Kinabalu sebelum ditahan oleh Polis. Dua (2) buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana dipercayai telah mengubah suai struktur asal motosikal tersebut.

Sebanyak 14 keping saman [PDRM (K) 257] atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan iaitu Ubahsuai Ekzos – 03 keping, Aksesori Tak Sempurna – 03 keping, Tiada Perlindungan Insuran – 02 keping, Tiada Lesen Memandu – 02 keping, Tiada Cermin Pandang Belakang – 02 keping, No. Flat Fancy – 01 keping, Tiada No. Pendaftaran (Hadapan) – 02 keping dan No. Flat Tidak Ikut Peraturan – 01 keping. Sementara itu, sebanyak 57 keping saman [PDRM (K) 170A] turut dikeluarkan atas kesalahan mengabaikan isyarat lalu lintas.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahayakan apabila disabitkan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun dan denda RM5,000.00 (Ringgit malaysia Lima Ribu) hingga RM15,000.00 (Ringgit Malaysia Lima belas Ribu) serta hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh tidak kurang dari lima (5) tahun.

Manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh (10) tahun dan denda RM10.000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu) hingga RM20,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu) serta hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh sepuluh (10) tahun.

Op Samseng Jalanan akan dijalankan secara berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang memandu atau menunggang secara melulu dan merbahaya dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *