Maritim rampas syabu bernilai RM1.76 juta

TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah dengan merampas syabu bernilai RM1.76 juta di perairan Inderasabah, di sini pada malam Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, sebanyak 32 kilogram (kg) syabu dirampas menerusi Ops Sejahtera yang dilaksanakan maritim.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda maritim telah mengesan sebuah bot laju bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika bot peronda menghampiri bot laju itu, suspek bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri menuju ke arah muara Sungai Inderasabah.

“Ketika mengejar suspek, juragan bot dilihat bertindak membuang sesuatu bungkusan yang tidak dapat dipastikan berikutan keadaan gelap dan jarak penglihatan terhad.

“Usaha menghentikan bot dan suspek gagal apabila tekong bot bertindak memecut laju ke arah kawasan paya bakau dan perairan cetek bagi meloloskan diri dari ditahan.

“Bagaimanapun, pencarian di lokasi bungkusan yang dibuang berhasil apabila sebuah beg ditemukan dalam keadaan terapung, ” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Katanya lagi, pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan itu menemui sebanyak 32 peket bungkusan dengan label teh cina yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Dianggarkan setiap bungkusan seberat satu kilogram dengan jumlah keseluruhan lebih 32kg dan nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM1.76 juta.

“Kesemua hasil rampasan seterusnya dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Shahrizan berkata, sindiket berkenaan dipercayai cuba menyeludup dadah ke negara jiran dan ia merupakan rampasan dadah berprofil tinggi terbesar maritim di zon Tawau.

“Bagaimanapun kes masih dalam di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau sebelum itu turut berkata, maritim akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)

“Orang ramai diminta salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya. -SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *