Maritim Malaysia tahan bot nelayan Vietnam
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing semasa pelaksanaan penugasan Op Kuda Laut di perairan Kudat di sini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata bot nelayan Vietnam yang ditahan di kedudukan 118 batu nautika Barat Laut Tanjung Simpang Mengayau itu dipercayai berperanan sebagai kapal induk atau ‘mother ship’ dalam penangkapan sotong di perairan negara.
“Semasa ditahan kira-kira jam 12 tengahari, bot nelayan asing terbabit bertindak agresif dengan melanggar dan merempuh KM Arau sehingga berlakunya kerosakan pada bot nelayan asing itu.
“Rempuhan juga menyebabkan kerosakan kecil pada KM Arau, bagaimanapun usaha penahanan berjaya dilakukan hasil tindakan cemerlang pasukan kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu dikendalikan seramai 41 kru warga Vietnam termasuk tekong berumur lingkungan 18 hingga 58 tahun.
“Pemeriksaan dokumentasi juga mendapati bot nelayan asing terbabit beroperasi di perairan negara secara haram selepas gagal mengemukakan sebarang dokumentasi berkaitan.
“Pasukan serbuan turut menemukan tiga tan hasil laut dalam pemeriksaan lanjut terhadap bot nelayan berkenaan,” katanya.
Katanya siasatan juga mendedahkan bot ini beroperasi dengan melepaskan sampan-sampan kecil bagi menangkap sotong sebelum hasilnya dikumpulkan pada kapal induk tersebut.
“Bot nelayan asing ini juga dipercayai sebagai bot induk berdasarkan bilangan kru, saiz bot serta muatan yang dibawa bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan bagi tujuan pengesahan.
“Kesemua kru, bot serta hasil laut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM1.5 juta.
Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah.
“Kawalan di perairan negara akan terus diperketatkan oleh Maritim Malaysia dalam usaha membanteras segala kegiatan jenayah rentas sempadan di lautan bagi memastikan kesejahteraan maritim di negara ini terus terpelihara.
“Sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088- 611858 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. -Sabah360