Lelaki warga emas positif COVID-19 dicari Polis

KINABATANGAN: Seorang lelaki warga emas yang didapati positif COVID-19 dicari polis selepas melarikan diri ketika hendak dibawa ke hospital untuk rawatan dalam satu kejadian di Kampung Kuala Tongod, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki berusia 69 tahun berkenaan masih belum berjaya dikesan sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbahaarin Ismail, berkata sebelum kejadian sepasukan petugas Klinik Kesihatan Tongod pergi ke kampung berkenaan untuk membuat makluman dan persediaan kepada individu-individu yang disahkan positif COVID-19 untuk dibawa ke Hospital Sandakan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, petugas kemudiannya membuat tinjauan ke rumah lelaki berkenaan dan mendapati warga emas itu sedang mengemaskan barang-barang di luar rumahnya.

“Petugas beranggapan lelaki itu sedang bersiap untuk dibawa ke hospital.

“Bagaimanapun, sebaik petugas kembali semula ke rumah lelaki itu, didapati rumahnya dalam keadaan berkunci dan tidak berpenghuni.

“Petugas kesihatan kemudian pulang semula ke klinik dan menunggu warga emas terbabit. Namun suspek tidak muncul dan belum dikesan hingga saat ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, perbuatan lelaki itu dikhuatiri menjangkiti orang awam sekiranya terus melarikan diri.

“Susulan itu, usaha mengesan sedang dijalankan oleh polis dan petugas kesihatan.

“Justeru, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) / Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana keengganan seseorang yang dijangkiti untuk mematuhi apa-apa arahan pemindahan orang dijangkiti,” katanya.

Menurutnya, polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi ditalian 089-561890 (Pusat Kawalan Daerah Kinabatangan). – Sumber Berita : BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *