Kastam rampas syabu bernilai RM1.8 juta

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 52 kilogram dadah jenis methampetamine atau syabu dalam Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV, 28 Julai lalu.

Dalam operasi jam 12.12 tengah hari itu, semua dadah dianggarkan bernilai RM1.8 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di bandar raya ini.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan, berkata serbuan dijalankan hasil maklumat Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) itu turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun untuk siasatan lanjut.

“Hasil serbuan membawa kepada penemuan bahan terlarang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat 52.463 kilogram dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,888,668.

“Serbuan dijalankan turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan yang berada di dalam rumah itu bagi siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Dewan Sri Khazali, Menara Kastam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi kes berkenaan menjadikan rumah yang diserbu sebagai lokasi melakukan proses pembungkusan dadah.

“Semua dadah itu dimasukkan ke dalam plastik teh seterusnya melalui proses kedap udara dengan jumlah berat tertentu.

“Ia kemudian disembunyikan di dalam kotak peralatan elektrik dapur dipercayai bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Zazuli berkata, siasatan turut mendapati semua dadah itu dipercayai untuk kegunaan dalam serta luar negeri.

Katanya, siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“JKDM Sabah komited menangani sebarang aktiviti yang membabitkan penyeludupan dadah,” katanya.

Sementara itu, Zazuli berkata, masyarakat digesa membantu JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *