ESSCom tahan sembilan PTI, dua tekong

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sini berjaya menahan sembilan pendatang tanpa izin (PTI) dalam dua kenderaan berasingan di Kampung Sri Pantai, di sini kelmarin.

Turut ditahan, seorang warga tempatan, 21, dan warga asing, 36, yang memandu kenderaan terbabit disyaki bertindak sebagai tekong darat menyambut kedatangan kesemua PTI terbabit.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, sepasukan anggota keselamatan yang menjalankan rondaan OP Cegah PTI (OCP) Daratan mengesan pergerakan dua kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, tangkapan pertama membabitkan sebuah kenderaan yang dinaiki dua penumpang di Lorong Haji Awang, kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua penumpang terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Manakala tangkapan kedua pula membabitkan tujuh PTI yang didapati bersesak-sesak di dalam sebuah lagi kenderaan jenis sedan di lokasi yang sama,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut terhadap semua PTI yang ditahan mendapati mereka dipercayai baru tiba di daerah ini dari negara jiran.

“Kesemua mereka yang terdiri enam lelaki dan tiga wanita berumur 1 hingga 36 tahun serta dua tekong terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kesemua PTI yang ditangkap akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama semua pasukan keselamatan terutamanya dalam menggagalkan taktik PTI yang menggunakan lorong tikus masuk ke negara ini.

“Pasukan ESSCom yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Maritim Malaysia akan terus mengetatkan kawalan keselamatan di perairan dan daratan negara,” katanya. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published.