ESSCOM Patahkan Kegiatan Kumpulan Ajaran Wali Tujuh
KINABATANGAN: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah mematahkan kegiatan kumpulan โAjaran Wali Tujuhโ dipercayai ajaran yang meragukan dalam satu serbuan di salah sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan dekat sini pada Selasa malam. (1 Feb)
Menurut kenyataan Komander ESSCOM, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Hamzah Ahmad, dalam serbuan tersebut, seramai tiga individu yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditangkap dan ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan โWali Tujuhโ.
โHasil pemeriksaan ke atas individu-individu terbabit mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di bawah seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.
โBeberapa barang peribadi milik salah seorang individu terbabit antaranya kalendar putikaan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai jenis tangkal telah dirampas,โ katanya.
Dalam pada itu, Hamzah dalam kenyataannya hari ini turut menyatakan, berdasarkan risikan awal, kumpulan ini diketuai oleh seorang guru dengan dibantu dua individu dan mula bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal yang telah berkembang pantas serta menarik minat penyertaan pekerja ladang khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan.
Katanya, setakat ini, kumpulan tersebut mempunyai seramai 20 orang pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang di sekitar daerah tersebut.
โESSCOM ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.
โTindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan di ESS Zone,โ tegasnya. – SM