Enam tahanan lolos nekad sambut raya

KOTA KINABALU: Sembilan tahanan nekad meloloskan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal di sini dipercayai untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, pagi tadi.

Tindakan pantas pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan bagaimanapun berjaya menahan tiga daripada tahanan terbabit.

Kesemua tahanan berumur 20 hingga 40-an itu dilihat melarikan diri dengan memanjat tembok blok depoh berkenaan.

Tiga daripada mereka berjaya ditahan di kawasan depoh manakala enam yang lain melarikan diri ke arah belakang berhampiran sebuah perkampungan di kawasan berkenaan. 

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan operasi memburu semua suspek yang terbabit giat dijalankan.

“Setakat ini belum ada laporan dibuat dan kita minta mereka membuat laporan polis segera,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan penghuni depoh tahanan sama dilaporkan merusuh selepas tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan balik untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, keadaan berkenaan berjaya dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikerah dilokasi kejadian. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *